Sejak posting awal tahun 2009, saya sudah melalui dua kali Ramadhan di kawasan pedalaman. Kedua-dua pengalaman menyambut puasa ini mempunyai perbezaan. Tahun lepas, Ramadhan disambut selama 2 minggu sahaja di sekolah, manakala tahun ini (2010), hampir 3 minggu menyambutnya.
Apa yang pasti, berpuasa di kawasan pedalaman jauh berbeza dengan berpuasa di kawasan bandar. Mengajar di kawasan pedalaman lebih banyak menuntut kesabaran. Manakan tidak, berpuasa di sini dengan tiada segala kemudahan seperti orang lain.
Tahun lepas, makanan ruji kami para guru Islam di sini ialah makanan tin pelbagai jenis dan rasa. Setiap hari menu kami ialah ikan sardin tin, kari ayam tin, kurma tin, ayam masak merah tin dan segala jenis makanan yang berunsurkan tin. Ini kerana, sekolah kami pada waktu itu membekalkan kuasa elektrik dengan menggunakan generator. Generator tersebut hanya membekalkan kuasa elektrik selama 4 jam sahaja bermula 6.30 petang sehingga 10.30 malam. Lantaran itu, kami tiada pilihan kerana makanan segar tidak dapat disimpan.
Alhamdulillah, tahun 2010 membawa rahmat buat warga SK Rajau Ensika. Sekolah telah dibekalkan dengan bekalan elektrik 24 jam. Tiada lagi kegusaran di hati kami para guru. Maka, Ramadhan tahun ini, kami menyambutkan dengan sebuah peti sejuk yang baharu. Peti sejuk guru perempuan inilah yang kami gunakan untuk menyimpan bekalan makanan kami sepanjang Ramadhan ini. Tiada lagi makanan tin dan kami dapat makan makanan yang segar. Bukan itu sahaja, kami juga dapat bangun untuk bersahur tanpa bergelap lagi seperti tahun lepas.
Ramadhan yang disambut, pasti akan meninggalkan kita. Perasaan sayu pasti melanda kita semua. Tidak terkecuali saya dan rakan-rakan guru juga. Kami juga teruja menyambut ketibaan Syawal. Maklumlah, kemeriahan dan keterujaan untuk pulang ke kampung halaman lebih terasa, kerana kami ini perantau di negeri orang. Setiap hari kami akan memainkan lagu raya bagi menaikkan mood hari raya.
Apa yang pasti, pengalaman berpuasa di sini tidak akan saya dan rakan-rakan yang lain lupakan sampai bila-bila.
Tahniah dan syabas buat cikgu dan rakan2 yang dapat mengharungi dugaan dan cabaran di pendalaman.. tabik spriing!!
ReplyDeleteTerima kasih Lieya. Tak ada apa yang nak ditabik. Hanya cabaran kami di sini yang berbeza. By the way, bukan pendalaman, tapi pedalaman ye....Sila semak Kamus Dewan.huhu
ReplyDeletetahniah kerana dapat menghasilkan sebuah catatan pengalaman yang sangt beharga.cikgu sentiasa memberi sokongan.
ReplyDelete