Monday, September 20, 2010

UPSR oh UPSR....

Hari ni 21 September 2010...Ujian Penilaian Sekolah Rendah bermula dengan rasminya....Seperti biasa, cikgu2 semua datang awal ke sekolah, walaupun murid lain tidak turun ke sekolah. Ini kerana, kehadiran murid-murid lain akan mengganggu perjalanan dan konsentrasi calon.

Inja anak Patik dan Winnie Eyon anak Jimbai merupakan dua calon kami pada tahun ini. Jika tidak salah, sekolah kami ini mempunyai calon yang paling sedikit di daerah Simunjan.Semua guru telah bersungguh-sungguh mendidik. Kini, kami benar-benar berharap, permata yang telah kami gilap ini akan menghasilkan sinar di akhirnya kelak...

Saturday, September 18, 2010

Kembali Ke Sarawak

Jam 3.30 petang, saya selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Kawan-kawan guru telah sedia menanti menjemput saya di sana. Esok,  saya dan rakan-rakan akan memulakan perjalanan pulang ke sekolah setelah bercuti 2 minggu sempena Aidilfitri. Walaupun 'mood' raya masih mencengkam jiwa, namun, tugas mendidik harus diteruskan. Lebih-lebih lagi, minggu hadapan peperiksaan UPSR akan bermula. Semoga kedua-dua orang calon SK Rajau Ensika dapat menjawab soalan dengan sebaiknya. 


Penat dah ni...Saya mahu tidur dan semoga perjalanan esok berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah...Insya Allah

Friday, September 3, 2010

Balik Kampung

Balik Kampung 

Perjalanan jauh tak ku rasa
Kerna hati ku melonjak sama
Ingin berjumpa sanak saudara
Yang selalu bermain di mata

Nun menghijau gunung ladang dan rimba
Langit nan tinggi bertambah birunya
Deru angin turut sama berlagu
Semuanya bagaikan turut gembira

Balik kampung oh oh...( 3X )
Hati girang
Ho ho... Balik kampung (3X)
Hati girang

Terbayang wajah-wajah yang ku sayang
Satu-satu tersemat di kalbu
Pasti terubat rindu di hati
Menyambut kepulangan ku nanti



Begitulah bait-bait lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Sejak bertugas jauh dari keluarga, lagu itu menjadi begitu dekat di hati. Semasa belajar di Semenanjung, terasa seperti biasa sahaja lagu tersebut, tetapi kini tidak lagi. Lagu itu akan menjadi lagu wajib setiap kali saya akan pulang ke kampung. 


Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), begitu ramai orang yang mahu pulang ke kampung. Tak perlu diteka, majoriti ialah guru-guru Semenanjung, golongan pelajar dan para askar yang ramai di Sarawak ini. Seronok juga dapat berjumpa rakan-rakan, bermaaf-maafan sebelum pulang berhari raya. 


Apa yang menariknya, setiap orang akan membawa bungkusan yang sama. Semuanya dalam kotak-kotak yang besar. Tentulah kek lapis Sarawak yang terkenal dan ikan terubuk masin.Ole-ole yang paling terkenal untuk dibawa pulang.



Puasa di Kawasan Pedalaman

Sejak posting awal tahun 2009, saya sudah melalui dua kali Ramadhan di kawasan pedalaman. Kedua-dua pengalaman menyambut puasa ini mempunyai perbezaan. Tahun lepas, Ramadhan disambut selama 2 minggu sahaja di sekolah, manakala tahun ini (2010), hampir 3 minggu menyambutnya. 


Apa yang pasti, berpuasa di kawasan pedalaman jauh berbeza dengan berpuasa di kawasan bandar. Mengajar di kawasan pedalaman lebih banyak menuntut kesabaran. Manakan tidak, berpuasa di sini dengan tiada segala kemudahan seperti orang lain. 


Tahun lepas, makanan ruji kami para guru Islam di sini ialah makanan tin pelbagai jenis dan rasa. Setiap hari menu kami ialah ikan sardin tin, kari ayam tin, kurma tin, ayam masak merah tin dan segala jenis makanan yang berunsurkan tin. Ini kerana, sekolah kami pada waktu itu membekalkan kuasa elektrik dengan menggunakan generator. Generator tersebut hanya membekalkan kuasa elektrik selama 4 jam sahaja bermula 6.30 petang sehingga 10.30 malam. Lantaran itu, kami tiada pilihan kerana makanan segar tidak dapat disimpan.


Alhamdulillah, tahun 2010 membawa rahmat buat warga SK Rajau Ensika. Sekolah telah dibekalkan dengan bekalan elektrik 24 jam. Tiada lagi kegusaran di hati kami para guru. Maka, Ramadhan tahun ini, kami menyambutkan dengan sebuah peti sejuk yang baharu. Peti sejuk guru perempuan inilah yang kami gunakan untuk menyimpan bekalan makanan kami sepanjang Ramadhan ini. Tiada lagi makanan tin dan kami dapat makan makanan yang segar. Bukan itu sahaja, kami juga dapat bangun untuk bersahur tanpa bergelap lagi seperti tahun lepas.


Ramadhan yang disambut, pasti akan meninggalkan kita. Perasaan sayu pasti melanda kita semua. Tidak terkecuali saya dan rakan-rakan guru juga. Kami juga teruja menyambut ketibaan Syawal. Maklumlah, kemeriahan dan keterujaan untuk pulang ke kampung halaman lebih terasa, kerana kami ini perantau di negeri orang. Setiap hari kami akan memainkan lagu raya bagi menaikkan mood hari raya.


Apa yang pasti, pengalaman berpuasa di sini tidak akan saya dan rakan-rakan yang lain lupakan sampai bila-bila.